Saturday, March 28, 2009



Assalamualaikum wbt..

Entry yang ini saya nukilkan kerana ada sesetengahnya di antara kita (especially orang lelaki la...) berkira sangat nak beri hadiah kepada isteri (tapi tak pula berkira kalau beri hadiah kepada kekasih, eh? Iya ke?)

Jangan salah faham, saya mengulas secara 'general', sebab agak kerap saya dengar atau baca di sana-sini, komen tentang suami yang bukan saja tidak ambil pusing malah meremeh-temehkan soal pemberian hadiah kepada isteri. Bagi saya senang aje, ada duit sendiri, belilah hadiah untuk diri sendiri, lagi puas hati sebab titik peluh sendiri.... Sebelum entri ini, saya fikir menerima hadiah tidaklah sepenting mana, "Alaaa... orang perempuan emo lebih, tak dapat hadiah dari suami, muncung boleh panjang sedepa!" Rupa-rupanya tanggapan saya salah sama sekali.

Hadiah diambil dari kata bahasa Arab, dan definisinya, pemberian seseorang yang sah memberi pada masa hidupnya, secara kontan tanpa ada syarat dan balasan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian 'athiyyah dan seumpamanya. Tapi suami zaman sekarang tak macam Nabi. Ada yang kedekut pulus, tak pandai nak ambil hati isteri tapi mengharapkan servis dari isteri nak yang top-ngetop meletop. Kalau tidak diminta hantaran masa kahwin dulu, agaknya tak merasalah si isteri mendapat hadiah... Sedih betul...

Sebenarnya, amalan memberi hadiah memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim, bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Mungkin ada yang perasan, saya letakkan satu hadis yang cukup sinonim dengan 'amalan memberi hadiah' di bawah 'signatory' akaun gmail saya [start Februari dah tukar hadis lain]. Hadisnya berbunyi, daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim. " (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, samada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, "Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. " (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksudnya: "Dan baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perbezaan Di antara Sedekah, Hadiah Pemberian dan 'Athiyyah

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan 'athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai 'athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan 'athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara' pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran ('iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.

Hukum Memberi Hadiah

Menurut Ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, belas kasihan dan ia memberikan pengaruh yang positif di masyarakat; baik bagi yang memberi mahupun yang menerima. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur'an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/537) sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa." (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Bagi yang memberi, itu sebagai cara melepaskan diri dari sifat bakhil, saranan untuk saling menghormati dan sebagainya. Sedangkan kepada yang diberi, sebagai salah satu bentuk memberi kelapangan terhadapnya, hilangnya kecemburuan dan kecurigaan, bahkan mendatangkan rasa cinta dan persatuan dengan sesama... TAPI hati-hati, hadiah tak boleh disamakan dengan suapan (rasuah)!

Galakkan Sikap Suka Memberi

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh gaginda dalam sabdanya yang bermaksud, "Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan." (Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada-Nya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya' adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda baginda yang bermaksudnya: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (Hadis riwayat Muslim)

Kalau dianjurkan untuk dijadikan amalan masyarakat, kenapa tidak dimulakan dalam masyarakat yang lebih kecil, contohnya, mulakan di kalangan keluarga sendiri. Rasulullah SAW amat menggalakkan amalan memberi hadiah dalam rumahtangga kerana dengan cara ini, kasih akan bertambah kerana hadiah merupakan tanda kasih atau simbol kepada kasih sayang suami terhadap isteri. Seorang suami tidak perlu menunggu isterinya memberi hadiah, sebaliknya suami hendaklah melakukan amalan ini terlebih dahulu. Ini sesuai dengan jiwa wanita yang sukakan sesuatu yang halus dan menggembirakan emosinya.

Sketsa Rumahtangga Rasulullah


Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: "Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu. Beliau (Ummu Kultsum) berkata: Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah." (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah juga suka memberi hadiah kepada isteri-isteri baginda. Apabila pulang dari mana-mana perjalanan, baginda sering membawa pulang hadiah untuk isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika, baginda terlupa membawa pulang hadiah, baginda berpatah semula ke pekan lalu membelikan ahdiah untuk isteri baginda.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a., "Pada suatu ketika Rasulullah menghadiahkan aku sebuah gelang yang amat cantik buatannya. Kemudiah aku bertanya kepada baginda, "Ya Rasulullah, siapakah di antara kami (isteri) yang paling kamu sayang?" Jawab Rasulullah, "Siapa yang ada gelang di lengannya." Keesokkan harinya aku dapati kesemua isteri baginda memiliki gelang yang sama."

Kepentingan memberi hadiah

1. Simbol kasih suami terhadap isteri
2. Menggembirakan hati isteri
3. Mencetuskan rasa hormat dan taat dalam hati isteri terhadap suami
4. Mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati. Sabda Nabi, "Hendaklah
kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat menwariskan rasa cinta dan
membersihkan berbagai kekotoran hati/jiwa."
5. Mendatangkan rasa saling cinta-mencintai, menyatukan hati dan memunculkan kasih
sayang.


Imam Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Biasakanlah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai." Juga diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrad, no. 594. Ibnu Hajar berkata, "Sanadnya shahih."

Melakukan kebaikan kepada isteri adalah sebahagian tanda Muslim sejati. Suami baik sedar bahawa dirinya menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang baik di antara kamu ialah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri daripada kamu." (Hadis Riwayat at-Tarmizi).

Hadis lain Riwayat at-Tarmizi bermaksud: "Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya."

Nah... Masih berkira-kira hadiahkan sesuatu kepada isteri?

Bagi isteri yang suaminya tak romantik atau berkira sangat nak beri hadiah, tak perlulah terasa hati. Terimalah suami seadanya dan redhalah dengan ketentuan Allah yang suami itu tidaklah sesempurna Rasulullah. Bukan senang untuk merubah manusia, tetapi kita boleh merubah diri sendiri. Untuk menggembirakan hati sendiri, isteri bolehlah berjimat-cermat atau simpan sedikit demi sedikit untuk mendapatkan sendiri hadiah idaman hati. Bukankah ini lebih memberikan kepuasan?

Renung-renungkan & KamOo Fikir Lah Sendiri yer !~~

0 comments: